RIWAYAT HIDUP

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA AL SULTAN ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH

Anugerah Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Kebesaran:

D.K., D.K.H., D.K.M., D.M.N., D.U.K., D.M.K., D.K. (Kelantan), D.K. (Pahang), D.K. (Selangor), D.K. (Perlis), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Johor), D.K. (Terengganu), D.K. (Perak), D.K. (Brunei), D.P. (Sarawak), D.U.N.M., S.P.M.K., S.S.D.K., D.H.M.S., D.G.M.K., Grand Cordon of The Order of the Rising Sun of Japan, Bintang Maha Putra Adiprana (Indonesia), Order of the Rammata Thailand, Honourable Knight Grand Cross Order of the Bath of U.K., Asso. Knight Order of St. John.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah diputerakan pada tanggal 28hb. November 1927. Tuanku Sultan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum menyambung pelajaran Baginda di Kolej Sultan Abdul Hamid Alor Setar (1946 – 1948).

Pada bulan Februari 1949, baginda telah berangkat ke England untuk melanjukan pelajaran dan setelah mengikuti satu kursus persiapan, baginda telah diterima masuk ke Wadham College, Oxford London pada awal tahun 1952 dalam bidang Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam. Sewaktu di England, Baginda telah ditabalkan sebagai Raja Muda Negeri Kedah pada 6 Ogos 1949. Sekembalinya ke tanah air pada tahun 1955 Baginda berkhidmat di Pejabat Daerah Kota Setar dan kemudiannya di Pejabat Perbendaharaan Negeri Kedah. Pada tanggal 9 Mac 1957. Baginda telah dilantik menjadi Pemangku Sultan Kedah kerana Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Badlishah telah berangkat keluar negara pada 12 Mac hingga julai 1957.

Baginda telah bertemu jodoh dengan Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah pada Mac 1956 di Istana Sri Menanti, Negeri Sembilan Darul Khusus. Almarhumah adalah merupakan Puteri sulung kepada Yang diPertua Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad yang juga Yang diPertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu.
Hasil perkahwinan diraja ini, Tuanku berdua telah di kurniakan tiga orang puteri iaitu Yang Teramat Mulia Tunku Soraya, Yang Teramat Mulia Tunku Sarina (mangkat) dan Yang Teramat Mulia Tunku Puteri Intan Safinaz.

Tuanku Sultan menaiki takhta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman pada tanggal 14 Julai 1958 setelah ayahanda Baginda Almarhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Badlishah mangkat. Pada tanggal 20 Februari 1957, Baginda ditabalkan secara rasminya sebagai Sultan Kedah ke-28 dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Bahiyah sebagai Sutanah Kedah dalam satu istiadat gilang – gemilang di Balai Besar, Alor Setar.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Malaysia yang ke-5 iaitu diantara tahun 1970 hingga 1975. Pada 21 September 1970, Baginda dan Almarhum Tuanku Sultanah Bahiyah dengan rasminya ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Pada tanggal 26 Ogos 2003, Kebawah duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Bahiyah telah mangkat di Istana Kuala Chegar, Anak Bukit, Alor Star, Kedah.

Pada tanggal 9 Januari 2004, telah berlangsung satu istiadat permasyuran Yang Mulia Che Puan Hajjah Haminah binti Hamidun sebagai Sultanah Kedah yang baru dengan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah. Tuanku Sultanah Haminah dilahirkan di Bagan Serai Perak, Darul Ridzuan. Baginda bertemu jodoh dengan Tuanku Sultan pada 25 disember 1975.

Sebagai seorang putera raja yang amat berhemah tinggi, Tuanku Sultan terkenal dengan pertuturan yang lemah-lembut dan bersopan santun. Baginda adalah seorang pemerintah yang dididik dari kecil dengan nilai-nilai pekerti dan tingkahlaku yang tinggi berasakan kepada ajaran agama dan ilmu keduniaan yang luas. Selain itu Baginda juga amat prihatin dan mengambil berat dalam hal ehwal agama dan rakyat Negeri Kedah di mana ini jelas terbukti apabila Baginda telah berangkat setiap hari ke pejabatnya di Wisma Darul Aman, Alor Star iaitu pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

DAULAT TUANKU!
   
copyright ©ptmk 2010 | PTMK@KEDAH.GOV.MY | TEL:04-7744536/04-7744534| FAX:04-7744539